Halaman

Selasa, 5 Februari 2013

ARTIKEL BERJUDUL “TERAPI SENI DALAM KARYA SENI TAMPAK” TERBITAN JANUARI 2013 DEWAN BUDAYA.

ARTIKEL BERJUDUL “TERAPI SENI DALAM KARYA SENI TAMPAK”
TERBITAN JANUARI 2013 DEWAN BUDAYA.

Terapi seni mulai mendapat perhatian ramai. Ia merupakan kaedah psikologi yang menggunakan pendekatan seni visual sebagai mekanisme membantu mengesan perubahan tingkah laku dan memulihkannya. Melalui terapi seni membantu merehatkan minda, pengubat jiwa, spritual dan kerohanian.

     Perbincangan ini tertumpu pada kajian seni dan psikologi yang melaluinya membantu menyelesaikan permasalahan tingkah laku yang neurotik dalam kehidupan semula jadi seseorang insan.  Secara ringkasnya, terapi seni visual yang sempurna menjurus kepada ilmu seni yang dibantu oleh pihak lain di luar persekitaran dunia seni.
                                         Isu terapi seni ini dibincangkan dengan lebih lanjut dalam
                                         Dewan Budaya terbitan Januari  2013


     Pendidik seni yang mengajar mata pelajaran seni visual dalam waktu yang sama menjadi penghayat dan pembuat seni bersama memikul tanggungjawab menjadikan terapi seni berfungsi sebagai proses pemulihan.  Jika seorang doktor tersalah memberi ubat akan memudaratkan pesakit malah tersalah bedah boleh mematikan seorang pesakit. Namun tanggungjawab pendidik bukan sahaja menyampaikan ilmu malah asuhan dan bimbingan moral. Jika tersalah menyampaikan ilmu akan sesat satu generasi. Jika tidak diasuh dengan perkara yang murni akan lahir ramai generasi tidak bermoral.

Hal di atas menjadi keyakinan dan kesedaran semua pendidik. Khususnya dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) untuk melahirkan sahsiah peribadi mulia di samping berbakat kreatif peranan dan komitmen guru PSV menjadi harapan tinggi semua pihak. Secara tidak formal dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) ada ruang untuk terapi seni namun tidak ditangani secara wajar. Mungkin disebabkan guru PSV tidak berkeyakinan dengan kemahiran dan cara pelaksanaan. Sebagai memenuhi kecekapan, mungkin juga ilmu bantu dalam psikiatri yang diperlukan untuk seorang  guru berbeza dengan kepakaran yang sedia ada dalam pedagogi. Segalanya itu dilatih dan terlatih melalui etika sehingga membezakan kepakaran dalam bidang masing-masing.

     Namun bukan suatu alasan sebagai helah bela diri yang pentingnya sebagai pendidik selain mempelajari  amalan pedagogi, pengetahuan teori dan praktikal dalam psikologi juga diberi pendedahan dalam bidang kaunseling. Malah pengetahuan dalam menangani stres dan simptom-simpton awal tentang tekanan mental boleh dilihat oleh guru setiap kali mereka masuk kelas atau peka pada tingkah laku murid di luar kelas. Terapi seni berkait dengan psikologi dan ilmu kaunseling.

     Setiap pendidik diletakkan status mulia sebagai wakil yang mewakili ibu bapa sebagai penjaga murid. Sepanjang enam jam anak-anak berada di sekolah maka itulah tanggungjawab yang digalas oleh guru yang beretika untuk menjadikan anak murid mereka sebagai anak sendiri. Simptom awal yang boleh dilihat oleh guru sebagai tanda anak didiknya dalam kecelaruan mental ialah bermurung, tidak ceria, diam monyok, jadi pemarah, berkelakuan kasar, hilang fokus, imej yang tidak berkeyakinan diri dan beberapa lagi tingkah laku luaran yang dicernakan oleh jiwa yang tidak tenteram.

     Keadaan emosi yang tidak stabil ini dapat dibuktikan melalui lukisan yang mereka hasilkan. Atau suatu mainan garisan dan palitan warna boleh dianalisis sebagai kesan awal mental yang terganggu atau sudah lama emosi yang membisul. Melalui kemahiran berkomunikasi secara verbal dan non-verbal, pendidik seni boleh menggunakan kemahiran ini untuk meneroka dan mendalami permasalahan murid. Gunakan proses berkomunikasi ini dalam sesi apresiasi dan kritikan seni. Atau hubungan personal secara peribadi sewaktu murid menghasilkan karya di mana tugasan yang diberikan itu dirancang untuk terapi seni yang melalui proses berperingkat.

     Proses pemulihan dan menstabilkan emosi murid memerlukan teknik mencungkil sifat dalaman. Mengesani emosi yang terganggu melalui kesan negatif ke atas tingkah laku itu ditonjolkan menerusi sifat dalaman yang ditafsir oleh pendidik seni melalui ilmu komunikasi, psikologi, apresiasi dan kritikan seni.

     Maka karya seni visual perlu dihargai kerana impak psikologi daripada karya seni memenuhi kehendak kerehatan minda dan kesihatan fizikal, spritual dan kerohanian.


    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan