Halaman

Selasa, 5 Mei 2015

BERSAMA ABANG ALONG YANG DISEGANI

Bermula tahun 2004..Setiap petang ketika pulang dari kerja..saya melihat seorang lelaki berumur mengejar bola. Sambil berlari mengejar bola bersama anak-anak muda belia. Di hati saya bercakap sendiri.. kuat lagi abang tu bermain bola. Dengan rambut putih melepasi bahu, berjanggut putih mencecah dada, berikat kain di kepala. Menunggu di bahagian tengah padang, menanti bola dan berlari-lari anak mengejar bola. Tidak lama bola di kaki, lantas dihantarkan ke depan. Tidak dipaksa tenaga itu seperti diperah semahunya, namun kelihatan pantas beraksi, menoleh kiri - kanan dan meluruskan jari telunjuk seperti mahukan supaya bola yang dihantar itu tepat kepada kawan. Setiap petang saya memerhati. Nampak ada skil dan gaya. Nampak bijak menggunakan ruang dan peluang. Tidak nampak penat terlelah-lelah berbanding anak muda belia yang bermain tidak menggunakan akal hanya banyak memerah tenaga.Saya jadi seronok memerhati. Hanya seorang itu sahaja yang saya perhati seperti perancang yang menyusun strategi. Agaknya abang berjanggut putih itu perasan yang saya memerhatinya setiap petang.

Waktu pagi ketika pergi kerja.. awal pagi lagi saya berselisih sekali sekala dengan abang yang setiap petang mengejar bola itu. Dia mengangkat tangan pada saya sambil melemparkan senyum. Di hati saya.. memuji barangkali abang ini orang tabliq yang memang mesra dan berakhlak mulia dengan sesiapa sahaja. Sambil menunggang motorsikal kapcai dan di belakangnya berikat bertingkat-tingkat talam segi empat yang ditindan rapi. Seperti biasa kepalanya juga berikat tetapi dengan serban. Di hati saya.. abang ni berniaga agaknya atau menghantar apa-apa ke pasar. Seingat saya..barangkali abang ini membuat tauhu basah untuk pelanggannya.

Tahun 2005, saya berhijrah ke tempat lain.
Setelah lebih sembilan tahun, pada 2014, saya berpindah semula ke rumah asal. Saya teringat kembali lelaki berambut panjang putih, berjanggut panjang putih yang berikat kepala mengejar bola di tengah padang. Saya melihatnya berada di saf pertama. Selesai solat Magrib..saya menyapanya.



Saya terpandang wajahnya terbit dalam majalah Dewan Budaya 2014 dua keluaran berturut-turut. Bermula dari situ, tahulah saya siapa orangnya. Beliau seorang pelukis, pereka grafik yang hebat di DBP di era 70-an, seorang penyair juga aktivis seni budaya dalam Kumpulan Anak Alam.Ketahuan saya tentangnya hanya sedikit. Setelah membaca halaman 29 buku beliau (Mazlan Noor Along) tentang apa-apa yang dilakukannya di awal pagi bersama talam yang diikat di belakang motorsikal itu adalah suatu kisah menarik. Kisah ini dipaparkan oleh Mohamed Hatta Shaharom seorang yang terkenal di Malaysia sebagai pakar psikologi. Tulisan Mohamed Hatta menyentuh perasaan dan menyeluk ke dalam jiwa saya perihal jatuh bangunnya seorang insan yang digelar Abang Along. 


Pada Sabtu, 25 April 2015 sempena PBAKL di PWTC, sekali lagi saya bertemu dan sempat  bergambar bersamanya tetapi tidak berpeluang berbual lama kerana sudah ada orang tertentu yang lebih berprestij ingin berurusan dengannya.

Ada sesuatu yang istimewa yang mungkin tidak diketahui oleh saya di sebalik luarannya. Hanya sedikit yang saya ketahui selepas membaca buku terbaharu beliau 'dan Kembara kuteruskan' koleksi puisi dan lukisan terpilih 42 tahun (1973 - 2015). Barangkali ada kesempatan yang lain mungkin terbuka sedikit 'Joe Harry(Johari) Windows..Tingkap Johari, tentang diri seorang Abang Along yang saya segani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan