Halaman

Memaparkan catatan dengan label SENI DAN PENDIDIKAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SENI DAN PENDIDIKAN. Papar semua catatan

Jumaat, 21 Disember 2012

PENGAMATAN SENI YANG LAZIM DAN LUAR BIASA

Pengamatan dalam seni visual adalah asas pembelajaran yang perlu dilatih secara formal dan sistematik. Dalam menilai karya seni, proses pengamatan memerlukan latihan yang berterusan. Suatu kaedah dalam penghasilan karya seni yang bernilai kepada seorang pembuat seni itu ialah bagaimana setiap pengamatan itu berterusan dari proses awal hingga kepada teknik penghasilan. Pengamatan berterusan melihat dan mengkaji setiap olahan yang membantu menyelesaikan masalah dalam berkarya. Proses pencarian kepelbagaian teknik dilakukan apabila kelaziman mengamati ini dibiasakan.

     Pengamatan hasil seni sebagai sebahagian aktiviti minda dan rohani, boleh dikembangkan melalui kepekaan memerhati dan menganalisis. Pengamatan itu membawa maksud memerhati benar-benar dan melihat dengan teliti hingga dikatakan  proses penelitian yang bersungguh-sungguh yang melibatkan proses fikir dan pandang. Apabila perhatian itu ditumpu pada sesuatu objek, secara khusus dan terperinci, kesan visual itu akan dinilai imejnya secara efektif atau dramatik. Pemerhatian ini akan menimbulkan pelbagai persoalan. Kenapakah setengah reka bentuk itu disusun sebegitu rupa? Adakah susunan itu menarik perhatian ramai? Bagaimanakah kaedah pengolahan itu meninggalkan kesan kepada pemerhati?

     Sebahagian hal benda dan medium yang berkaitan diamati sebagai asas dalam penerokaan teknik berkarya. Hal benda yang ditonjolkan dalam sesuatu ilustrasi membawa kesan efektif dalam reka bentuk diamati dari pelbagai sudut menggunakan strategi deskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Hingga ada persamaan reka bentuk antara pengalaman dengan persekitaran turut dijadikan bahan pengamatan. Proses pengamatan ini berterusan mematangkan diri seseorang kerana pengamatan hakiki memerlukan penghayatan,pengklasifikasian,pengadaptasian dan penganalisisan. Daripada pengamatan akan ditemui sesuatu kesan visual bukan sahaja membawa kesan terperanjat malah secara tidak sengaja ada sesuatu mainan perasaan yang menjadi kita terpegun. Maka kesan pengamatan itu akan ada penganotasian iaitu suatu rujukan mungkin tambahan catatan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

     Idea yang unik sama ada bermula dengan simbol atau paten-paten visual adalah sebahagian daripada reka bentuk dan meninggalkan kesan inspirasi. Dalam reka  bentuk dan reka letak sebagai aktiviti merancang, mengarah dan mengawal sangat memerlukan pengamatan yang tinggi.  Segalanya membawa erti akan terhasil sesuatu yang memenuhi kehendak dan keperluan terhadap kualiti karya yang boleh mendorong masyarakat berfikir dan menghargai karya seni.

     Melalui prinsip seni, istilah seperti kesatuan seni bermaksud kesan penghasilan yang dilakukan oleh pembuat seni meletakkan elemen visual berdekatan dalam satu uniti. Susun letak dan susun atur tersebut menampakkan kesan harmoni yang mewujudkan kesatuan yang menarik dan saling berhubungkait. Ia tidak terasing dan terapung antara satu dengan lain. Apabila dilihat elemen-elemen tersebut bersama secara keseluruhan ada kesatuan yang diwujudkan seperti berkait, berpautan dan dapat berada dalam keharmonian bersama.

     Dari proses pengamatan, hal berkaitan susun atur bagi objek alam benda misalannya adalah satu contoh bagi melihat kesan kesatuan yang baik dan menarik. Ketelitian susun letak objek dan penggunaan bayang visual adalah strategi bagi menonjolkan kesan uniti. Mata kita akan bergerak perlahan dari satu objek ke objek yang lain. Teknik meletakkan elemen-elemen visual berdekatan ini disebut ‘proximity’ sudah dikenali dan berkembang di kalangan pembuat seni. Tanpa teknik ini, elemen-elemen visual yang dipilih sukar untuk diperbesarkan sudut dan ruangnya. Justifikasi menerusi teknik ini menempelkan imej yang terserlah dalam ruang yang harmoni dan seimbang.

     Dalam mematangkan proses pengamatan ditemui suatu teknik pengulangan yang lazim kita dengar dalam bahasa visual sewaktu mengadakan sesi apresiasi dan kritikan. Teknik pengulangan elemen visual tertentu menghasilkan kepelbagaian sudut dalam  perekaan yang terikat dalam satu kesatuan. Elemen yang diulang itu boleh terdiri daripada warna, bentuk, garisan, rupa bentuk, jalinan atau sesudut. Contoh karya Gustav Klimt dari segi visual menyerlah teknik pengulangan dalam suatu komposisi. Bentuk bulatan, lengkung dan beberapa lingkaran ditonjolkan pengulangannya menjadi berbeza saiz dan ton. Elemen-elemen ini ditindih menjadi satu paten, kadangkala ditonjolkan dalam gaya legap atau opaque dan ada ketikanya berlutsinar bagi menjelmakan bahagian depan atau belakang. Pengulangan yang berjaya dapat menjadikan suatu rekaan itu berada dalam komposisi yang menarik dan hal ini menjadi proses pengamatan mendorong kita mengenalpasti ciri-ciri fizikal sesuatu karya.
▲Karya Gustav Klimt. Berjudul ‘Expectation’. Tahun 1905-09. Media campuran kertas perak dan emas.
        Saiz 6’4” x 3’93/8”

     Hasil arca Louise Nevelson pula menunjukkan contoh kekuatan uniti melalui teknik pengulangan. Dalam karya Vincent van Gogh berjudul “The Starry Night”, teknik pengulangan garisan berlingkar telah membawa keunikan tersendiri sehingga visual yang kita lihat itu menjadi suatu pergerakan sebahagian daripada awan dan cahaya bulan yang menerangi langit. Apabila diamati di sebalik hal benda dalam karya tersebut maka kita mulai sedar, pembuat seni mengadaptasikan kesan pengulangan bagi membesarkan kekuatan uniti.
◄Karya Louise Nevelson. Berjudul ‘Dawn’s Wedding

                 Chapel 1’. Tahun 1959. Bahan kayu dicat putih.
                 Saiz 228 x 129 x 15 cm.



 







▼Karya Vincent van Gogh. Berjudul ‘The StarryNight’. Tahun 1889.  
    Bahan cat minyak di atas kanvas. Saiz 73.7 x 92.1 cm.

 

     Dalam proses pengamatan secara semula jadi mata pemerhati diajak melihat, mengekori sesuatu objek visual dengan cermat dari satu arah ke arah lain. Mata bergerak lancar tanpa paksaan melalui kebijaksanaan pembuat seni menyusun teknik perekaan. Salah satu teknik secara semula jadi iaitu penggabungan elemen visual seperti garisan, sudut pepenjuru atau sambungan dari satu bentuk ke bentuk yang lain akan mengaktifkan mata pemerhati. Anggota-anggota badan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan berbentuk abstrak dalam karya Picasso adalah contoh teknik penggabungan yang membawa kesinambungan imej. Bentuk-bentuk tadi berkongsi melalui dua kekuatan iaitu sudut pepenjuru dan sokongan garisan horizontal yang merentas kanvas.


▲Karya Pablo Picasso. Berjudul ‘Guernica’. Tahun 1937.
Bahan cat minyak di atas kanvas.  Saiz 11’5 1/2 ” x 25’5 3/4”

     Teknik penggabungan ini telah dimajukan dan berkembang ditangan pereka grafik atau pembuat seni yang bijaksana dalam merancang susun letak. Ciptaan kreatif ini membawa kesan visual terutamanya dalam penghasilan seni grafik yang menonjolkan kekuatan elemen seni seperti dalam percetakan grafik kepala berita, gambar foto, lambang, simbol dan imej tarikan bersama teks. Hasil kreatif ini boleh diamati dalam terbitan buku, majalah, iklan, risalah atau brochure dan lain-lain lagi.

     Teknik penggabungan memerlukan perekaan terancang dalam mempelbagaikan bentuk hingga pepenjuru dilihat tegak, kukuh dan bermakna. Hasil reka bentuk ini menjadi kekuatan untuk mengangkat sesuatu konsep asas yang sama seperti diaplikasikan dalam penghasilan katalog, risalah, majalah, buku yang melibatkan banyak halaman. Perancangan seorang pereka bentuk bermula dengan struktur format berpandukan garisan grid menegak dan melintang sebagai panduan membahagikan ruang setiap muka surat.



◄Dalam buku ‘How to Understand and Use
   Grids’ oleh Alan Swann menunjukkan struktur
   reka letak menggunakan garisan grid sebagai
   perancangan seorang pereka bentuk.

             
     Dalam pengamatan, reka bentuk yang dihasilkan bermula melalui idea. Segala idea yang baik memerlukan kreativiti yang mampu mempelbagaikan elemen uniti melalui teknik proximity secara pengulangan dan berkesinambungan. Apabila  suatu bentuk itu diulang dalam perbezaan saiz maka pengulangan itu masih belum mantap dan perlu ada kesinambungan melalui pengulangan warna dalam berbeza nilai. Contoh pengamatan yang boleh diambil ialah menerusi karya Piet Mondrian yang stail olahan melalui cara susunan dalam kotak. Persoalan pengamatan kita ialah sejauhmanakah daya tarikan visual dalam karya itu dikatakan terserlah? Tarikan ini lahir apabila asas-asas aplikasi prinsip seni diterima pakai secara terancang.

▲Karya Piet Mondrian. Berjudul ‘Composition
with Red, Blue, Yellow, Black, and Gray’.
Tahun 1922. Bahan cat minyak di atas kanvas.
Saiz 41.9 x 48.6 cm

     Saiz dan rupa boleh mengubah pengamatan seseorang melalui kualiti elemen seni seperti mainan tebal atau nipis garisan hitam atau penegasan susun letak pepenjuru melalui rupa dan warna tertentu. Kualiti elemen seni ini dapat mengekalkan daya tarikan dalam jangka masa yang lama sebagai keindahan yang tidak jemu ditatapi.  
     Pelbagai jenis reka corak, reka bentuk sama ada abstrak atau sebaliknya merupakan contoh yang dapat kita amati setiap hari. Karya Piet Mondrian merupakan olahan teknik kepelbagaian uniti menggunakan setiap penjuru dan sudut kotak-kotak yang boleh dihitung. Dengan berbeza saiz diselang-seli melalui mainan garisan horizontal dan vertikal, pengamatan kita tertumpu pada keseluruhan teknik pengulangan. Pecahan-pecahan oleh beberapa bentuk di sekelling itu dizahirkan dari adunan warna kontras.

▲Karya Wassily Kandinsky. Bertajuk ‘Picture with an Archer’. Tahun 1909.
Bahan cat minyak di atas kanvas.
Saiz 5’9” x 4’9”


     Kematangan dalam pengamatan seni visual akan melalui proses secara semula jadi apabila merentasi masa, zaman, budaya dan kawasan geografi. Secara semula jadi proses pengamatan terbahagi pada pengamatan realiti dan pengamatan ilusi. Kedua-dua jenis pengamatan ini meletakkan tanggapan tentang kenyataan yang melibatkan persepsi realiti dan ilusi. Dengan menyakini proses melalui galur semula jadi maka setiap pengamatan itu tidak dapat lari dari persepsi atau tanggapan mengenai sesuatu perkara dengan melihat hakikat kewujudannya atau kenyataan yang sebenar. Karya Wassily Kandinsky seperti “Picture with an Archer” adalah contoh karya yang mengunakan olahan komposisi melalui bentuk organik dan geometri yang diulang-ulang.

     Dalam pengamatan kita, segala yang logik, munasabah dan bersesuaian diambil pertimbangan. Segala perubahan saiz dan ton akan menjadi tanda tanya, kenapa dan mengapa ia dipelbagaikan. Logik dan munasabah yang dimaksudkan ini adalah persepsi seseorang yang menyakini pengamatan jenis realiti. Adakah munasabah dan sesuai kepelbagaian ini bermain difikiran kita bagi mencari jawapan untuk memenuhi kehendak tarikan dan kepuasan? Sehingga ke suatu tahap kematangan pengamatan tidak lagi melihat yang lazim seperti cantik, puas dan menarik tetapi mencari yang luar biasa.

     Ketika ini kematangan pengamatan sudah meletakkan keyakinan saling melengkapi antara realiti dan ilusi sebagai hakikat kewujudan suatu kenyataan yang sebenar. Justeru itu usah berkelahi jika ada perbezaan persepsi antara individu dan kumpulan audiens apabila pengamatan seni yang menjadi penilaian dalam apresiasi seni begitu subjektif malah di kalangan pembuat seni sendiri mereka berdiri dengan yakin di sebalik stail dan ideologi.

Rabu, 5 Disember 2012

BAHASA VISUAL DALAM AKTIVITI MENGGAMBAR

BAHASA VISUAL

Menggambar atau diistilahkan sebagai melukis merupakan aktiviti seni yang mendapat perhatian ramai. Di kalangan pembuat seni, aktiviti menggambar dapat dihasilkan di atas permukaan rata dalam bentuk dua dimensi yang disempurnakan dalam ruang komposisi artistik melalui pelbagai teknik dan media. Penggunaan pelbagai media seperti cat air, gouache, akrilik, egg tempera, cat minyak, pastel, objek keras/lembut dan gabungan pelbagai teknik menjadi kemampuan artis yang bergelar kreatif. Sebagai pembuat seni keupayaan meneroka, memilih dan mencuba kepelbagaian teknik dan bahan dalam aktiviti menggambar adalah suatu keseronokan.

Aktiviti menggambar di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah didedahkan proses awal pengolahan bahan dan teknik menghasilkan lukisan, catan, kolaj, montaj, cetakan, gosokan, resis, percikan dan mozek. Lanjutan pendedahan asas itu berkembang sebagai aktiviti awal mengasah bakat dan salah satu pilihan popular di kalangan pelukis sama ada amatur maupun profesional ialah penghasilan catan. Ada pendapat menganggap jenis catan medium cat air mudah dimanipulasikan sebagai teknik pengolahan bergantung sejauhmana manipulasi sesuatu bahan itu digunakan. Kepelbagaian manipulasi bahan dicuba melalui warna air atau cat air hingga menyempurnakan hasil aktiviti menggambar menjadi gaya realistik, ekspresif abstrak atau palitan. Tidak dinafikan di kalangan pembuat seni, ada yang meneroka dan mencuba bahan baharu dalam teknik terkini sehingga mengambil waktu menjadi mantap.

     Percubaan dan penemuan teknik pengolahan dalam pelbagai medium dijadikan asas perbincangan dalam menilai sesuatu karya. Kritikan dan apresiasi seni menggunakan bahasa visual yang mantap terus diperluaskan. Contoh peringkat catan air terdapat tiga asas yang menjadi panduan dalam aktiviti penghasilan. Tiga asas tersebut ialah pilihan jenis berus, jenis kertas dan cara sapuan. Ketiga-tiga asas ini boleh diubahsuai dan saling membantu dalam penghasilan gaya.

     Pemilihan bahan atau medium membawa kesan pelbagai dalam hal benda, kreativiti dan nilai artistik. Contohnya penggunaan jenis berus, kategori warna, pilihan kertas yang sesuai akan mempengaruhi teknik pengolahan.  Hasilnya akan terserlah menarik dari segi stalisasi, makna, kematangan kualiti elemen seni dan prinsip seni.

     Jenis berus yang sesuai banyak membantu pelukis memperincikan imej. Terdapat jenis berus sintetik  boleh diubahsuai bersama media lain seperti penggunaan span, kayu dan pena, menjadi suatu penerokaan yang mengangkat status pelukis itu berinovasi dan kreatif. Manakala gandingan jenis berus yang sesuai dengan jenis kertas pula menampakkan kesan visual yang berbeza. Terdapat kertas yang mampu menyerap air menjadikan  permukaan kertas berkeadaan lembab dalam waktu yang lama.

     Dalam rencana ini penulis cuba mengaitkan kesedaran sejarah seni dalam penggunaan medium dan teknik yang dianggap bermakna dalam mengekspresifkanbahasa visual. Melalui kesedaran ini membantu pembuat seni, penghayat seni dan masyarakat mengetahui sesuatu hasil seni itu melalui proses percubaan dan penemuan. Karya yang unik melalui banyak proses penerokaan, dikaji, dinilai dan dikritik. Kemampuan pelukis mencuba pelbagai bahan dan teknik adalah sifat semula jadi insan seni yang mahukan kelainan.  Apa yang difahami dalam sesebuah lukisan itu dijelaskan melalui bahasa visual namun hal di sebalik keunikan dan kelainan itu tidak ramai yang mengetahuinya. Sebagai rakaman dan catatan dokumentasi yang cuba meletakkan tahap kemahiran tinggi dalam pengunaan bahan dan teknik perlu dibongkarkan supaya pengolahan bahan dan teknik yang diterokai dalam sesuatu zaman itu dikaji dan membantu teori seni terus berkembang.

     Dokumentasi berkaitan catan air menjadi pilihan kepada sebahagian pelukis kerana pengolahannya membantu pelukis menjimatkan masa, menyelesaikan masalah ruang berkarya dan barangkali menjimatkan kos. Kenyataan ini menjadi kajian dan kebarangkalian fakta ini boleh dikongsi melalui kelab atau persatuan pelukis cat air yang banyak ditubuhkan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Fakta dan dokumentasi catan air sebagai salah satu aktiviti menggambar ini tidak bermaksud mengurangkan signifikan bahan medium lain malah ada penemuan teknik dan olahan yang kreatif oleh pelukis melalui cat minyak dan lain-lain media juga dibincangkan.

     Dalam sejarah seni sebahagian catatan memberi fokus kepada karya yang menggunakan medium cat minyak. Catan cat minyak banyak ditonjolkan sebagai karya agung yang merentasi zaman. Pembuat seni yang bertaraf adikarya dalam sejarah seni meneroka dan berhasil dalam karya berbentuk lakaran, arca, cetakan dan yang paling terserlah ialah medium cat minyak. Catan cat minyak dianggap paling dominan dalam gerakan seni gaya impresionisme, kubisme dan abstrak ekspresionisme.

     Dalam rentetan sejarah seni, perubahan idea dan sikap membawa kesan kepada penemuan baharu. Hal yang positif ini menjadi penunjang dalam teori dan prinsip seni yang dapat membantu memperkayakan lagi bahasa visual. Contoh suatu olahan figuratif yang dinamik dalam karya menggambar oleh Caravaggio dikatakan membawa elemen dramatik melalui kesan cahaya. Karya figuratif diolah dengan berani oleh Caravaggio dari sudut yang berbeza dan kesan cahaya itu menimbulkan elemen dramatik.

Karya Caravaggio. Berjudul ‘The Deposition’. Tahun 1604. Bahan cat minyak atas kanvas. Saiz 9’ 9 1/8” x 6’ 7 3/4”
     Olahan bahan dan teknik sentiasa berlaku  dalam menyelesaikan masalah menggambar dan penerokaan dibuat untuk mencari pertimbangan estetik. Kesinambungan dari penemuan ini menjadi kelangsungan untuk bahasa visual ditutur senada dan formal. Misalnya dalam penyelesaian rupa bentuk, kesan cahaya yang menghidupkan objek-objek visual dalam aktiviti menggambar dijadikan kekuatan. Teknik yang dikenali sebagai chiaroscuro merupakan penekanan yang kontras antara cerah dan gelap. Teknik ini menjadi kekuatan pembuat seni dalam menzahirkan kesan sekeliling yang berilusi. Bersama objek-objek sekeliling yang ditawarkan dalam satu ruang menjadikan gelap dan cerah sebagai penyokong cahaya dan bayang kepada rupa bentuk. Teknik ini diperkenalkan oleh Giotto (1266-1337) sebagai kekuatan cahaya dan bayang dalam mengekspresif rupa bentuk dan ruang. Selain itu Giotto meneruskan penerokaan lain dalam teknik menggambar yang dikenali sebagai frescois. Penemuan ini melahirkan bahasa visual dalam aktiviti menggambar yang dituturkan oleh pengkritik menjadi bahasa apresiasi seni.
Karya Lorenzo di Credi. Berjudul ‘Drapery for a Standing Man, Represented Frontally’. Tahun akhir abad ke-15 hingga awal abad ke-16. Brush and gray wash on brown paper. Saiz 15’ ¼” x 105’ 8”. Lokasi Louvre, Paris.
Karya ini menggunakan teknik Chiaroscuro

     Penerokaan bahan dalam perkembangan seni di abad ke-20 menghasilkan karya menggambar yang berilusi. Duchamp bersama rakan-rakan dari kumpulan Dadaisme menghasilkan teknik gabungan pengalaman dengan penggunaan pelbagai media. Penerokaan dalam bahan dan teknik terus berkembang dengan penemuan resepi baru yang asli dalam pembikinan lukisan oleh Braque dan Klee. Diikuti oleh Dubuffet, Tapies, memperkenalkan campuran bahan warna dengan tar, pasir bersama lumpur.


▲Karya Giotto. Berjudul ‘The Lamentation’. Tahun 1305-06. Teknik Fresco. Saiz 7’ 7” x 7’ 9”.

     Max Ernst pula telah memperkenalkan karya menggambar secara ekspresi ilusi dan lanskap fantasi melalui tiga teknik iaitu frottage, grattage dan decalcomania bagi memainkan elemen jalinan sebagai suatu imej paten yang menarik.
Karya Georges Braque. Berjudul ‘Man with a Guitar’. Tahun 1911-12. Bahan cat minyak atas kanvas.
Saiz 45’ ¾” x 31’ 7/8”

Teknik decalcomania
Karya Paul Klee. Berjudul ‘Dance You Monster to My Soft Song!. Tahun 1922.
Bahan campuran cat air dan lapisan minyak. Saiz 16’ 5/8” x 12’ 7/8”.

     Teknik frottage dihasilkan melalui warna yang melimpah ditarik dari sebelah atas penjuru permukaan kanvas merintas ke bawah. Kesan jalinan yang ketara dapat dilihat di ruang bawah. Manakala teknik grattage menampilkan warna yang basah dan dicakar menggunakan garpu, pisau cukur, sekuji dan sikat rambut. Aplikasi teknik decalcomania pula menggunakan tekanan secara gosokan untuk mendapatkan imej pada permukaan yang bersebelahan. Melalui suatu ruang yang ditompokkan warna yang berbagai-bagai dan ditangkupkan dengan ruang sebelah untuk mendapatkan jalinan pembalikan. Imej visual yang dihasilkan oleh Max Ernst ini dikatakan sebagai suatu lanskap fantasi menampakkan jalinan bertompok, berbalar yang terjadi dengan mudah dan spontan namun sukar dilakukan dengan sapuan berus. Ertinya penerokaan media dan teknik oleh pembuat seni telah mejangkau di luar aturan formal, tanpa sapuan berus, pelbagai jalinan boleh dijelmakan secara  ilusi dan fantasi.

     Secara analatikal, konstruktif, matang dan kecenderungan ingin mencuba telah memperkayakan bahasa visual dalam konteks penghasilan karya menggambar. Apa yang penting, penerokaan bahan dan teknik tiada penghujung. Selagi kehidupan itu mencabar, citarasa seni dan budaya yang  selari dengan kehendak kontemporari, dan rasa estetik yang tinggi, akan banyak permasalahan seni muncul untuk dicari punca penyelesaiannya. Setiap penyelesaian diiringi kepuasan hingga menampakkan kematangan bahasa visual itu diguna dan diterima dalam laras yang standard pada tahap kemahiran berfikir aras tinggi (High Order Thinking Skill ) -HOTS.