Halaman

Khamis, 9 April 2015

CATATAN FIKIR

Lama benar ditinggalkan halaman blog risalahproseni ini. Bagi saya, halaman blog ini perlu disegarkan kembali. Februari 2013 adalah kali terakhir blog ini saya hentikan dengan tajuk “Terapi Seni dalam Karya Seni Tampak”. Tajuk artikel ini telah diterbitkan oleh Majalah Dewan Budaya sebagai mengingat kembali kesegaran menulis.


Cukup terasa, hasil dari menulis dalam halaman blog ini merangsang saya untuk menyemak dan mengemas kembali hasil tulisan dan idea-idea yang pernah dinukilkan. Banyak yang perlu dimantapkan. Banyak juga isinya yang melompat dari idea yang tidak berfokus. Segalanya telah berjaya diolah kembali. Pengolahan kembali idea-idea itu telah dikumpul menjadi beberapa buah buku dan sebahagiannya diterbitkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Meninggalkan aktiviti menulis pada halaman blog ini bukan bermakna saya berdiam kaku. Atau lena dan leka membuang waktu. Juga bukan menyepi hingga menjadi malas menulis.

Peluang dan kesempatan diambil dari berhenti sementara menulis di halaman blog ini membuka kesempatan untuk saya mengumpul kembali idea-idea tersebut. Lalu memikirkan buku-buku seni visual yang amat kurang di pasaran, khususnya dalam Bahasa Melayu telah membakar semangat dan kemahuan untuk direbut peluang dan kesempatan ini.

Apabila TPM mengumumkan untuk menyuntik dana tambahan kepada penerbit yang diterajui oleh DBP bagi membanyakkan penerbitan buku-buku Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang telah melonjak kemahuan saya untuk merebut peluang dan kesempatan ini.

Alhamdulillah, syukur saya kepada Allah. Juga terima kasih tidak terhingga kepada Editor Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Puan Nurul Julia Alani Henry dan Puan Zalimah Yahaya yang membantu menyuburkan lenggang lenggok bahasa visual dalam buku terbaharu ini.

Isu dan Pemikiran dalam Seni Visual ini mengenengahkan hasil karya sepanjang zaman pembuat seni tempatan. Antaranya Choong Kam Kow, Khalil Ibrahim, Awang Damit, Yusof Ghani, Bayu Otomo, Susylawati Sulaiman, Wu Peng Yi, Raja Shahriman, Kok Yew Puah, Yeoh Jin Leng, Datuk Syed Ahmad Jamal, Lui Cheng Tak, Dato’ Sharifah Fatimah Syed Zubir, Piyadasa dan ramai lagi sekadar menyebut beberapa nama. Kebanyakan tokoh-tokoh seni visual ini telah menduduki hirarki bertaraf seniman yang mencapai martabat sifu dan hasil adikarya mereka dirujuk sebagai hasil seni bertaraf tinggi dalam khazanah tamadun bangsa. Malah mencapai taraf antarabangsa. Maka karya-karya zaman Renaisan, era klasik, moden dan kontemporari dari Barat dijadikan perbandingan sudut budaya dan jati diri bangsa yang berkait dalam kehidupan.

 Usaha menghasilkan buku Isu dan Pemikiran dalam Seni Visual adalah sumbangan yang diimbas kembali secara horizontal, menyentuh sifat prolifik tokoh-tokoh pembuat seni tempatan dalam berkarya dan secara vertikal pula menyentuh sejauh mana karya yang bernilai tinggi diangkat menjadikan wawasan untuk kesinambungan bangsa.




Semoga seni visual tidak diabaikan dalam membina generasi kreatif maka saya mengaitkan kepentingan seni visual dalam masyarakat dan kehidupan. Jika seni itu ada kaitannya dengan kehidupan, maka siapakah kita sebagai khalayak (pemerhati, peminat, pengkritik) dan siapakah seniman sebagai pengkarya yang masing-masing berperanan dalam menghidupkan kepentingan seni itu dalam kehidupan.