Halaman

Isnin, 12 Oktober 2015

PENCEROBOH

Buku terbaharu SN Shahnon Ahmad ini sedang dibaca sementara menunggu rakan yang berjanji mahu makan bersama. Menyelak halaman demi halaman dan terhenti pada muka surat 128 dengan tajuk "Penceroboh". Dengan maksud penceroboh itu, sesuatu yang masuk ke dalam sesuatu domain tanpa diundang bagi menganggu ketenteraman atau kesejahteraan.



     Diulas lebih lanjut bentuk pencerobohan itu berlaku dalam berbagai-bagai. Bersifat fizikal dan ada yang bersifat psikologikal secara luaran dan dalaman.

     Dalam situasi masa kini, saya tertarik dengan perbincangan perihal 'penceroboh' yang setiap hari menjadi berita untuk kita baca dan dengar. Benar sekali kehadiran 'penceroboh' menarik perhatian ramai kerana di sebalik pencerobohan tersebut ada tujuan tertentu yang tersendiri. Tujuan penceroboh mungkin untuk memecahbelahkan masyarakat, memecahkan kelompok jemaah hingga 'penceroboh' itu dijulang sebagai wira. Mungkin kerja penceroboh itu bersama aktivitinya dilakukan kerana ada pengupahnya. Penceroboh telah berjaya memainkan watak sebagai penyelamat kepada suatu pihak dan boleh menjadi perosak kepada suatu pihak lain.

     Watak penceroboh yang dibawa itu boleh menjadi kejam dan zalim atau sama ada boleh menjadi penyelamat yang munafik sehingga keharmonian dan ketenteraman hidup masyarakat terancam.



     Persoalannya adakah 'penceroboh' terus diburu atau diselamatkan?  Hal ini bergantung pada situasi. Sekiranya ia diburu, wataknya boleh berubah menjadi apa-apa saja. Andainya ia diselamatkan akan ada watak-watak lain yang bakal muncul menyambung peranan yang sama.