Halaman

Ahad, 26 Februari 2012

ISU DAN PEMIKIRAN DALAM SENI TAMPAK



ISU DAN PEMIKIRAN DALAM SENI TAMPAK

HASIL seni perlu berfungsi untuk akal berfikir yang secara langsung mencerdikkan masyarakat. Sesungguhnya hasil karya yang kita tatapi itu memerlukan keringat dan inspirasi yang perlu diperah oleh pembuat seni untuk tatapan masyarakat. Sesungguhnya “Isu dan Pemikiran dalam Seni Tampak” disajikan dalam 27 topik yang dipecahkan kepada 6 bab adalah isu global yang menarik minat semua pihak.

Seni tampak suatu signifikan antara keringat dan inspirasi. Ia membawa justifikasi bahawa seni tidak semudah untuk menghasilkannya dan bukan mudah untuk dinikmati walaupun ia berada di sekitar dan penting di dalam kehidupan kita. Seni suatu signifikan mengandungi 99 % keringat dan hanya 1% inspirasi. Ini mengingatkan kita bahawa, baik audiens maupun pembuat seni bahawa seni tidak semudah untuk diangkat menjadi popular. Setiap bab mengetengahkan pelbagai isu dan persoalan untuk dicari jawapan. Juga ada ketika pembuat seni itu sendiri mencipta persoalan hingga menjadi masalah. Akhirnya melalui seni sebagai suatu signifikan cuba dimanipulasikan untuk menyelesaikan masalah.

Sesungguhnya terdapat banyak makna yang mahu dicari dan dikongsi di sebalik penghasilan sesebuah hasil seni tampak. Ada persoalan yang merumitkan kita untuk diterjemah apa lagi jika warna yang membawa makna kepada sesuatu itu dikelirukan pula oleh simbol-simbol yang pelik.

Sebahagian yang pelik dalam seni itu diakui sebagai suatu yang unik. Keunikan ini mencetuskan pertembungan idea dengan peraturan, pertelagahan teori dengan aliran menjadikan separuh karya seni tampak menerima nilai baharu. Jika seni itu ada kaitan dengan kehidupan, adakah nilai baharu kehidupan dapat disampaikan sebagai suatu mesej oleh pembuat seni? Siapakah kita sebagai khalayak seni dan siapakah pembuat seni diutarakan secara panjang lebar dalam Bab 3 – “Seni Tampak dan Cabarannya”.

Biasanya proses penghasilan seni tampak berkaitan dengan hidup dan pengalaman. Kesedaran untuk mengajak masyarakat berfikir tentang hidup dan pengalaman memerlukan kesedaran dan ilmu. Hasil seni perlu dihayati, difikir dan aktiviti ini suatu proses keintelektualan yang memerlukan masyarakat yang berilmu dan dapat menjadikan karya seni sebagai suatu signifikan. Buku ini sesuai untuk semua peringkat dan mengajak pembaca merasai dunia seni tampak yang luas dan mencabar.

Buku “ISU DAN PEMIKIRAN DALAM SENI TAMPAK” ini sedang berada di pasaran. Tempah melalui (mnoor_othman@yahoo.com.my) atau hubungi 0174709390.

Jumaat, 10 Februari 2012

KEINDAHAN SENI DI SEBALIK LUKISAN GUBAHAN FIKIRAN DAN ALAM BENDA



▲Willem Kalf, Still Life, 1659. Approx. 20” x 17”. Royal Picture Gallery,
The Hague, Netherlands



Oleh: Mohamed Noor Othman
mnoorseni@gmail.com

Dua cabang hasil karya seni iaitu lukisan gubahan fikiran dan alam benda pernah menjadi bahan kritikan. Sejak abad ke-17 hingga ke-19, pengkritik Barat bersama sejarawan seni membuat perbandingan secara relatif berkaitan lukisan gubahan fikiran dan alam benda. Dalam perbandingan tersebut gubahan fikiran sebagai salah satu cabang karya seni berbentuk lukisan menjadi satu genre seni yang diletakkan pada tahap tinggi, manakala lukisan alam benda berada di tahap rendah. Sejarah menunjukkan kecemerlangan lukisan gubahan fikiran menempuh cabaran yang banyak serta bermain dengan imaginasi yang luas, berbanding lukisan alam benda yang dikatakan lebih pada suatu penyalinan semula.

Pada asasnya, perbandingan ini meletakkan kedudukan lukisan alam benda (still life) sebagai suatu hasilan lukisan yang bertahap rendah dan kurang menonjol dari segi kekayaan imaginasi. Faktor imaginasi itu dijadikan kriteria dalam meletakkan kedudukan pelukis pada tahap tinggi yang kreatif dan mampu mengolah lukisan gubahan fikiran (menggambar) itu menjadi cantik, indah dan sempurna. Namun tidak dinafikan ramai pembuat seni yang memberi perhatian dalam imaginasi mereka kepada alam benda. Contoh hasil karya agung pembuat seni seperti Rembrandt dikatakan banyak mengkaji ciri dramatik cahaya dan bentuk sehingga kesan tekstura dan warna pada objek alam benda nampak hidup dan bernyawa. Raphaelle pula cuba mengenengahkan kekayaan warna dan kekuatan kesan cahaya dalam lukisan alam bendanya. Inspirasi beliau ini menjadi ikutan aliran Kubis yang menemui lukisan alam benda sebagai suatu objek yang boleh diperkayakan sebagai sumber semula jadi dalam gambaran realiti. Adakah ciri-ciri imaginatif dan kreatif yang dimiliki oleh Rembrandt dan Raphaelle ini bukan suatu sifat kreativiti?

Persoalannya kenapa timbul perbezaan pandangan antara hasil karya lukisan alam benda dengan lukisan gubahan fikiran sehingga genre lukisan alam benda berada di tahap rendah. Jawapan di sebalik perbezaan pandangan tersebut dikatakan oleh pengkritik seni, bahawa lukisan gubahan fikiran sentiasa berada di tahap kegemilangannya kerana ia terserlah dan berkait dengan kisah-kisah epik. Penceritaan kisah epik klasik itu dilukis dengan teliti dan disokong bersama daya imaginasi pelukis. Hal ini menjadikan pengkisahan sejarah epik bersesuaian dengan alam realiti. Lukisan epik diolah dengan sempurna dari segi bentuk figura, kostum, latar belakang yang mewakili latar masa. Watak-wataknya diberi penegasan yang sempurna dari segi kadar banding bersama kekuatan imaginasi pelukis. Ciri-ciri yang dinyatakan ini menampakkan naratif kisah epik mewakili sejarah ketamadunan zaman, berkaitan moral dan agama yang terserlah secara realiti.

Pendapat sekumpulan sejarawan dan pengkritik seni di atas telah disokong dan ditolak oleh kelompok penghayat seni sehingga mencetuskan perbahasan akademik. Bukti yang jelas ditunjukkan pada abad ke-18 melalui hasil karya lukisan alam benda yang menakjubkan telah dibuat oleh Chardin. Sebagai seorang pembuat seni yang berasal dari Perancis, beliau mampu mengolah objek alam benda menjadi suatu tarikan baharu dengan kesan tampakan visual yang hidup. Setiap objek alam benda yang digarap telah menarik perhatian audiens menerusi kebijaksanaannya mengharmonikan unsur warna. Beliau menyempurnakan campuran setiap warna yang ada di sekeliling objek menjadi warna yang asal itu kaya dengan sokongan warna-warna lain sehingga setiap warna itu menyokong warna yang berdekatan. Ciri-ciri warna yang kaya dan pelbagai itu diolah menjadi harmoni hingga membangkitkan kesan jalinan yang terasa ada nafas kehidupan dan makna dalaman. Objek alam benda yang dihasilkan itu tidak kelihatan cacat, mati atau kaku.

Selain Chardin, salah seorang pelukis Belanda, Willem Kalf berjaya dalam setiap hasil karyanya telah memberi makna kepada perkembangan seni yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Beliau dianggap sebagai pelukis yang masyur dalam lukisan alam benda sehingga objek-objek yang dilukiskan menarik minat orang ramai. Kalf berhasil menghubungkaitkan sains dan seni dalam kerja-kerja seninya yang menitik beratkan hubungan dan fungsi cahaya dalam keindahan. Banyak karya lukisan alam bendanya menjadi bukti bahawa beliau seorang yang pakar dan memiliki keistimewaan menganalisa sesuatu yang dilihat. Lukisannya banyak menggunakan latar belakang gelap, manakala gelas, buah-buahan, dulang perak bersama karpet Turki disusun dengan terancang. Segalanya menampakkan keceriaan dan pemusatan jalinan bagi pembalikan cahaya. Mainan cahaya telah dibantu oleh dulang perak yang menyinarkan cahaya dan berlaku pembalikan pada gelas, terpantul pada buah limau dan cahaya itu meresap pada karpet. Ini adalah satu hasil yang boleh dicontohi bahawa mainan cahaya boleh dipelbagaikan dalam ruang yang sempit apalagi dalam persekitaran yang luas. Ia juga merupakan sebahagian kerja seni yang cemerlang hasil dari fungsi mata yang dilatih untuk melihat dari sudut yang lebih mendalam.

Di akhir abad ke-19, golongan yang beraliran Impresionisme telah berjaya menonjolkan kesan keaslian sehingga nampak hidup setiap objek yang dipilih dalam lukisan alam benda. Objek-objek seperti flora difokuskan dengan teliti sehingga menampakkan keunikan sifat tumbuhannya. Kajian dan fokus pada sifat luaran dan dalaman objek flora dilestarikan mengikut sifat asalnya sebagai spesis botanika. Odilon Redon misalnya telah menghasilkan simbol-simbol realis dan surealis yang berobjektifkan keanehan di sebalik objek alam benda yang dipilihnya. Terasa ada tarikan kasih sayang yang cuba memikat audiens untuk menatap hasil karya lukisan alam bendanya. Tanda-tanda melalui kesan sapuan warna pastel jelas begitu menarik seperti suatu tarikan arus eletrik yang bergetar.

Manakala Cezanne pula, berjaya menampilkan idea kreativitinya dalam lukisan alam benda menerusi penyelidikan. Hasil dapatannya mendapati ada ruang penerokaan yang luas dalam dunia tersembunyi dan terasing yang boleh dikutip melalui lukisan alam benda. Tidakkah segalanya ini ada kaitannya dengan imaginasi dan kreativiti daripada seorang pelukis yang bijaksana walaupun jenis lukisannya berbentuk alam benda?

Melalui definasi yang diberikan oleh Chang Hon Woon (2005:66) , lukisan ialah gubahan yang dihasilkan oleh unsur-unsur garisan melalui pelbagai media. Proses akhir yang menampakkannya lebih cantik, kemas dan teliti bermula dari lakaran (sketching).

Peringkat awalan proses yang membezakan antara lukisan gubahan fikiran dan alam benda ialah pemilihan tema. Seterusnya kedudukan objek, komposisi, ruang depan, tengah dan belakang dikaji. Kesan cahaya dan sudut pandangan pepenjuru atau bahagian yang menarik dijadikan elemen yang kuat untuk menyokong pelukis berimaginasi. Jelasnya di sini perbezaan utama antara lukisan gubahan fikiran dan alam benda ialah di segi pemilihan tema. Apabila keduanya sudah melengkapi suatu proses berkreatif dan berimaginatif akan disempurnakan oleh pelukis melalui aktiviti bercatan.

Disiplin seni melukis alam benda, menetapkan bahawa bahagian latar belakang dianggap sebahagian daripada susunan yang melibatkan objek. Namun secara kreatif hal ini bergantung kepada imaginatif pelukis. Dari pengalaman lampau tahun 1976 dalam soalan yang digubal oleh lembaga peperiksaan tempatan bagi Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Am Pelajaran ada ditegaskan sebagai pemberitahuan kepada calon hal yang berkaitan latar ruang sebagai sebahagian dari objek. Contohnya, sayur-sayuran yang telah siap tersedia di dalam sebuah bekas memasak yang besar terletak di atas lantai. Di sekeliling bekas memasak itu terdapat lain-lain sayur-sayuran yang belum tersedia. Di sini keupayaan pelukis berimaginatif diperlukan untuk mengolah objek utama dan latar sekeliling. Ruang lantai, dinding dan persekitaran adalah mewakili keseluruhan objek. Walaupun imej sebenar diamati dan disalin kembali tetapi secara kreatifnya ada penambahan dari pelbagai segi dan elemen-elemen yang dilebihkan sebagai suatu kekuatan tersendiri. Realiti bentuk, perspektif, ruang, bayang dan cahaya juga diolah secara kreatif dari sudut pandangan pelukis yang bijaksana.

Sebagai contoh, soalan lain yang berkaitan alam benda seperti sebuah bekas minyak petrol serta beberapa buah tin minyak kosong yang menunjukkan nama-nama perdagangannya, berdiri di atas beberapa helai guni atau beg buruk yang pula terletak di atas sebuah kotak atau peti. Contoh soalan dan arahan yang disertakan mengingatkan calon bahawa mereka ditegah menggunakan penggaris walau apa jenis sekalipun. Arahan yang disebutkan bertujuan melahirkan kepekaan tangan, mata dan minda kreatif yang tajam. Kepekaan ini melatih ketepatan yang betul dari segi perspektif serta perkadaran sebagai satu asas dan pegangan penting dalam lukisan alam benda bagi melahirkan insan seni yang kreatif dalam proses persepsi visual.

Justeru itu dalam mengangkat nilai sesuatu hasil seni bagi membezakan martabat seseorang pelukis itu adalah bergantung pada pengalaman yang memperkayakan elemen imaginatif. Maka yang dimaksudkan tahap tinggi dan rendah dalam lukisan gubahan fikiran dan alam benda tidak jauh nilai taranya. Perbezaan tema dalam kedua-dua cabang seni lukis itu boleh dilakukan dengan baik dan sempurna oleh pelukis yang sama.

Contoh soalan lukisan gubahan fikiran berikut menghendaki anda dan seorang rakan sedang menyelamatkan seorang mangsa banjir dan barang-barangnya dari sebuah rumah yang sedang dinaiki air. Lukisan anda hendaklah menampakkan riak-riak di permukaan air. Ini adalah salah satu di antara soalan lukisan gubahan fikiran yang dipetik pada tahun 1993. Imej yang perlu difokus bertemakan banjir dengan dua suasana imaginatif. Pertama gerak aksi menyelamatkan mangsa banjir dan barang-barang. Gerak aksi ini memerlukan kebijaksanaan pelukis berimaginatif melahirkan watak yang beraksi dengan mood yang merangsang audiens berfikir. Ada komunikasi tanpa lisan dan secara lisan yang dapat dibaca melalui aksi tubuh dan memek muka. Kehendak kedua dari soalan tersebut ialah menghidupkan riak-riak di permukaan air, menggambarkan suasana banjir dengan imej visual yang jelas memerlukan kepakaran memainkan cahaya dan warna yang pintar oleh pelukis yang kreatif dan berimaginatif. Kepintaran ini boleh menjadi suasana yang digambar menonjolkan mood yang sesuai dengan tema banjir.

Antara lukisan alam benda dan gubahan fikiran sangat berharga sebagai sebahagian lambang keindahan alam semula jadi. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan kerana saling membawa kekuatan tersendiri dalam proses merepresentasikan secara realiti, benar dan asli. Keindahan dan nilai seninya menonjol dan terserlah di sebalik kreativiti dan imaginasi pelukis. Sebagai pelukis yang menampakkan kewibawaannya akan cuba mengekal atau mengembangkan gaya yang ada dan memang sukar untuk dikekalkan dalam dunia yang semakin berubah. Kebanyakan pelukis mungkin mengulangi gaya dalam bentuk dan kedudukan yang sama. Sebagai audiens, masing-masing ada cita rasa tersendiri yang minat dan teruja dengan kedua-dua pilihan yang ada.