Halaman

Rabu, 5 Disember 2012

BAHASA VISUAL DALAM AKTIVITI MENGGAMBAR

BAHASA VISUAL

Menggambar atau diistilahkan sebagai melukis merupakan aktiviti seni yang mendapat perhatian ramai. Di kalangan pembuat seni, aktiviti menggambar dapat dihasilkan di atas permukaan rata dalam bentuk dua dimensi yang disempurnakan dalam ruang komposisi artistik melalui pelbagai teknik dan media. Penggunaan pelbagai media seperti cat air, gouache, akrilik, egg tempera, cat minyak, pastel, objek keras/lembut dan gabungan pelbagai teknik menjadi kemampuan artis yang bergelar kreatif. Sebagai pembuat seni keupayaan meneroka, memilih dan mencuba kepelbagaian teknik dan bahan dalam aktiviti menggambar adalah suatu keseronokan.

Aktiviti menggambar di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah didedahkan proses awal pengolahan bahan dan teknik menghasilkan lukisan, catan, kolaj, montaj, cetakan, gosokan, resis, percikan dan mozek. Lanjutan pendedahan asas itu berkembang sebagai aktiviti awal mengasah bakat dan salah satu pilihan popular di kalangan pelukis sama ada amatur maupun profesional ialah penghasilan catan. Ada pendapat menganggap jenis catan medium cat air mudah dimanipulasikan sebagai teknik pengolahan bergantung sejauhmana manipulasi sesuatu bahan itu digunakan. Kepelbagaian manipulasi bahan dicuba melalui warna air atau cat air hingga menyempurnakan hasil aktiviti menggambar menjadi gaya realistik, ekspresif abstrak atau palitan. Tidak dinafikan di kalangan pembuat seni, ada yang meneroka dan mencuba bahan baharu dalam teknik terkini sehingga mengambil waktu menjadi mantap.

     Percubaan dan penemuan teknik pengolahan dalam pelbagai medium dijadikan asas perbincangan dalam menilai sesuatu karya. Kritikan dan apresiasi seni menggunakan bahasa visual yang mantap terus diperluaskan. Contoh peringkat catan air terdapat tiga asas yang menjadi panduan dalam aktiviti penghasilan. Tiga asas tersebut ialah pilihan jenis berus, jenis kertas dan cara sapuan. Ketiga-tiga asas ini boleh diubahsuai dan saling membantu dalam penghasilan gaya.

     Pemilihan bahan atau medium membawa kesan pelbagai dalam hal benda, kreativiti dan nilai artistik. Contohnya penggunaan jenis berus, kategori warna, pilihan kertas yang sesuai akan mempengaruhi teknik pengolahan.  Hasilnya akan terserlah menarik dari segi stalisasi, makna, kematangan kualiti elemen seni dan prinsip seni.

     Jenis berus yang sesuai banyak membantu pelukis memperincikan imej. Terdapat jenis berus sintetik  boleh diubahsuai bersama media lain seperti penggunaan span, kayu dan pena, menjadi suatu penerokaan yang mengangkat status pelukis itu berinovasi dan kreatif. Manakala gandingan jenis berus yang sesuai dengan jenis kertas pula menampakkan kesan visual yang berbeza. Terdapat kertas yang mampu menyerap air menjadikan  permukaan kertas berkeadaan lembab dalam waktu yang lama.

     Dalam rencana ini penulis cuba mengaitkan kesedaran sejarah seni dalam penggunaan medium dan teknik yang dianggap bermakna dalam mengekspresifkanbahasa visual. Melalui kesedaran ini membantu pembuat seni, penghayat seni dan masyarakat mengetahui sesuatu hasil seni itu melalui proses percubaan dan penemuan. Karya yang unik melalui banyak proses penerokaan, dikaji, dinilai dan dikritik. Kemampuan pelukis mencuba pelbagai bahan dan teknik adalah sifat semula jadi insan seni yang mahukan kelainan.  Apa yang difahami dalam sesebuah lukisan itu dijelaskan melalui bahasa visual namun hal di sebalik keunikan dan kelainan itu tidak ramai yang mengetahuinya. Sebagai rakaman dan catatan dokumentasi yang cuba meletakkan tahap kemahiran tinggi dalam pengunaan bahan dan teknik perlu dibongkarkan supaya pengolahan bahan dan teknik yang diterokai dalam sesuatu zaman itu dikaji dan membantu teori seni terus berkembang.

     Dokumentasi berkaitan catan air menjadi pilihan kepada sebahagian pelukis kerana pengolahannya membantu pelukis menjimatkan masa, menyelesaikan masalah ruang berkarya dan barangkali menjimatkan kos. Kenyataan ini menjadi kajian dan kebarangkalian fakta ini boleh dikongsi melalui kelab atau persatuan pelukis cat air yang banyak ditubuhkan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Fakta dan dokumentasi catan air sebagai salah satu aktiviti menggambar ini tidak bermaksud mengurangkan signifikan bahan medium lain malah ada penemuan teknik dan olahan yang kreatif oleh pelukis melalui cat minyak dan lain-lain media juga dibincangkan.

     Dalam sejarah seni sebahagian catatan memberi fokus kepada karya yang menggunakan medium cat minyak. Catan cat minyak banyak ditonjolkan sebagai karya agung yang merentasi zaman. Pembuat seni yang bertaraf adikarya dalam sejarah seni meneroka dan berhasil dalam karya berbentuk lakaran, arca, cetakan dan yang paling terserlah ialah medium cat minyak. Catan cat minyak dianggap paling dominan dalam gerakan seni gaya impresionisme, kubisme dan abstrak ekspresionisme.

     Dalam rentetan sejarah seni, perubahan idea dan sikap membawa kesan kepada penemuan baharu. Hal yang positif ini menjadi penunjang dalam teori dan prinsip seni yang dapat membantu memperkayakan lagi bahasa visual. Contoh suatu olahan figuratif yang dinamik dalam karya menggambar oleh Caravaggio dikatakan membawa elemen dramatik melalui kesan cahaya. Karya figuratif diolah dengan berani oleh Caravaggio dari sudut yang berbeza dan kesan cahaya itu menimbulkan elemen dramatik.

Karya Caravaggio. Berjudul ‘The Deposition’. Tahun 1604. Bahan cat minyak atas kanvas. Saiz 9’ 9 1/8” x 6’ 7 3/4
     Olahan bahan dan teknik sentiasa berlaku  dalam menyelesaikan masalah menggambar dan penerokaan dibuat untuk mencari pertimbangan estetik. Kesinambungan dari penemuan ini menjadi kelangsungan untuk bahasa visual ditutur senada dan formal. Misalnya dalam penyelesaian rupa bentuk, kesan cahaya yang menghidupkan objek-objek visual dalam aktiviti menggambar dijadikan kekuatan. Teknik yang dikenali sebagai chiaroscuro merupakan penekanan yang kontras antara cerah dan gelap. Teknik ini menjadi kekuatan pembuat seni dalam menzahirkan kesan sekeliling yang berilusi. Bersama objek-objek sekeliling yang ditawarkan dalam satu ruang menjadikan gelap dan cerah sebagai penyokong cahaya dan bayang kepada rupa bentuk. Teknik ini diperkenalkan oleh Giotto (1266-1337) sebagai kekuatan cahaya dan bayang dalam mengekspresif rupa bentuk dan ruang. Selain itu Giotto meneruskan penerokaan lain dalam teknik menggambar yang dikenali sebagai frescois. Penemuan ini melahirkan bahasa visual dalam aktiviti menggambar yang dituturkan oleh pengkritik menjadi bahasa apresiasi seni.
Karya Lorenzo di Credi. Berjudul ‘Drapery for a Standing Man, Represented Frontally’. Tahun akhir abad ke-15 hingga awal abad ke-16. Brush and gray wash on brown paper. Saiz 15’ ¼” x 105’ 8”. Lokasi Louvre, Paris.
Karya ini menggunakan teknik Chiaroscuro

     Penerokaan bahan dalam perkembangan seni di abad ke-20 menghasilkan karya menggambar yang berilusi. Duchamp bersama rakan-rakan dari kumpulan Dadaisme menghasilkan teknik gabungan pengalaman dengan penggunaan pelbagai media. Penerokaan dalam bahan dan teknik terus berkembang dengan penemuan resepi baru yang asli dalam pembikinan lukisan oleh Braque dan Klee. Diikuti oleh Dubuffet, Tapies, memperkenalkan campuran bahan warna dengan tar, pasir bersama lumpur.


▲Karya Giotto. Berjudul ‘The Lamentation’. Tahun 1305-06. Teknik Fresco. Saiz 7’ 7” x 7’ 9”.

     Max Ernst pula telah memperkenalkan karya menggambar secara ekspresi ilusi dan lanskap fantasi melalui tiga teknik iaitu frottage, grattage dan decalcomania bagi memainkan elemen jalinan sebagai suatu imej paten yang menarik.
Karya Georges Braque. Berjudul ‘Man with a Guitar’. Tahun 1911-12. Bahan cat minyak atas kanvas.
Saiz 45’ ¾” x 31’ 7/8”

Teknik decalcomania
Karya Paul Klee. Berjudul ‘Dance You Monster to My Soft Song!. Tahun 1922.
Bahan campuran cat air dan lapisan minyak. Saiz 16’ 5/8” x 12’ 7/8”.

     Teknik frottage dihasilkan melalui warna yang melimpah ditarik dari sebelah atas penjuru permukaan kanvas merintas ke bawah. Kesan jalinan yang ketara dapat dilihat di ruang bawah. Manakala teknik grattage menampilkan warna yang basah dan dicakar menggunakan garpu, pisau cukur, sekuji dan sikat rambut. Aplikasi teknik decalcomania pula menggunakan tekanan secara gosokan untuk mendapatkan imej pada permukaan yang bersebelahan. Melalui suatu ruang yang ditompokkan warna yang berbagai-bagai dan ditangkupkan dengan ruang sebelah untuk mendapatkan jalinan pembalikan. Imej visual yang dihasilkan oleh Max Ernst ini dikatakan sebagai suatu lanskap fantasi menampakkan jalinan bertompok, berbalar yang terjadi dengan mudah dan spontan namun sukar dilakukan dengan sapuan berus. Ertinya penerokaan media dan teknik oleh pembuat seni telah mejangkau di luar aturan formal, tanpa sapuan berus, pelbagai jalinan boleh dijelmakan secara  ilusi dan fantasi.

     Secara analatikal, konstruktif, matang dan kecenderungan ingin mencuba telah memperkayakan bahasa visual dalam konteks penghasilan karya menggambar. Apa yang penting, penerokaan bahan dan teknik tiada penghujung. Selagi kehidupan itu mencabar, citarasa seni dan budaya yang  selari dengan kehendak kontemporari, dan rasa estetik yang tinggi, akan banyak permasalahan seni muncul untuk dicari punca penyelesaiannya. Setiap penyelesaian diiringi kepuasan hingga menampakkan kematangan bahasa visual itu diguna dan diterima dalam laras yang standard pada tahap kemahiran berfikir aras tinggi (High Order Thinking Skill ) -HOTS.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan