Halaman

Ahad, 16 Disember 2012

PERMASALAHAN INTERPRETASI BAHASA VISUAL DAN PENYELESAIANNYA

Di tangan audiens yang bijak, setiap kekaburan dalam permasalahan visual diselesaikan secara berperingkat melalui interpretasi yang matang dengan ini boleh membantu pembuat seni dan pemerhati lain memahami maklumat visual. Dalam persembahan karya seni visual, setiap bahasa visual yang ditampilkan di atas kanvas, kertas, layar skrin dan medium lain membawa simbol, imej, warna untuk ditonton dan diamati oleh pemerhati. Setiap elemen bahasa visual yang tertera itu mengandungi makna yang tersurat dan tersirat, antaranya perlu ditafsir oleh pemerhati.

     Sebelum menatap karya yang dihasilkan oleh Honore Daumier berjudul The Strongman’, fikirkan beberapa perkara yang menyentuh imej visual dan cuba mencari jawapan di sebaliknya. Cerakinkan imej visual, bermula dari mudah ke sukar, antaranya jumlah figura, objek yang berdekatan dengan figura, bayang, cahaya dan objek separuh nampak.
▲Karya Honore Daumier. Berjudul ‘The Strongman’. Tahun 1865.
Bahan cat minyak atas panel kayu. Saiz 26.6 x 34.9 cm

     Dalam lukisan Honore Daumier ini, apakah kaitan hal benda dengan dua figura dan mengapakah ditampilkan kekaburan dalam dua karektor figura lain?

     Anda tentu berfikir apakah idea Honore Daumier dalam lukisan ini dan kenapakah idea ini dicetuskan? Dalam mencari jawapannya anda akan mengaitkan antara pengalaman lalu dengan pengetahuan sedia ada.

     Figura yang dilukis itu diolah kedudukannya dalam komposisi yang stabil pada sudut yang ditetapkan. Tegak dan yakin figura itu berdiri, adakah komposisi ini membantu Honore Daumier meletakkan keutamaan tertentu dalam keseimbangan ruang?

     Pada pandangan anda adakah kesan cahaya dalam lukisan ini membawa kesan tampak tersendiri yang mendatangkan impak emosi?

     Adakah anda melihat perkaitannya, bentuk figura tersebut dengan aksi sebagai suatu penceritaan?

     Lukisan ini menunjukkan sepasang tangan figura terlindung pada paras pergelangan dalam berpeluk tubuh, sama ada disengajakan atau tidak. Adakah cara ini boleh membawa kesan dramatik?

     Bagaimanakah anda menjelaskan semangat yang dijelmakan dalam lukisan ini sebagai suatu respons dalam pembingkaian imej?

     Apakah pengalaman anda sendiri apabila menatap lukisan ini? Adakah anda melihat di sebalik figura yang dilukiskan itu terdapat suatu tanda kegagahan yang cuba ditonjolkan oleh pelukis sebagai tarikan atau kekuatan yang luar biasa bersesuaian dengan judulnya?

     Kenapakah soalan-soalan tadi ditimbulkan? Kebiasaannya untuk mencabar kefahaman audiens berfikir di luar jangkaan.  Soalan-soalan ini akan membiasakan audiens menguji tahap pengetahuan diri sendiri untuk bersedia dalam apajua situasi kerana pembuat seni berfikir dan berkarya dalam situasi yang berbeza. Cabaran berfikir di luar jangkaan ini juga boleh mematangkan audiens dalam membuat interpretasi. Persoalan yang cuba dibangkitkan tadi boleh membantu mengaitkan setiap situasi dengan kotak fikir yang berbeza apabila menatap karya seni.

     Dengan menimbulkan soalan yang mencabar minda ia boleh menjadikan banyak seleksi jawapan yang berkemungkinan relevan dengan pengetahuan seseorang. Setiap pemerhati akan berbeza persepsi visual dan ini memberi banyak pilihan tafsiran yang tidak dijangka. Keseluruhan dari persoalan yang berbagai-bagai dalam mencari jawapan yang subjektif memberi kesan positif dalam menginterpretasi sesebuah karya seni.

     Melalui pelbagai persepsi visual dalam menginterpretasi karya seni akan terpilih bahasa visual yang sesuai dan berkait dengan  lima persoalan, untuk apa, bila, siapa, kenapa dan bagaimana (4 wifes 1 husban-4what, when, who,why/1how).

     Objek yang tidak perlu di sebalik lukisan ini atau telah disamarkan oleh pelukis, boleh ditafsir sendiri oleh audiens. Anda hanya mampu mengandai dan membuat interpretasi dari apa yang boleh dilihat. Beberapa persoalan yang mencabar minda memerlukan skil pemikiran aras tinggi, menjadi ujian kefahaman yang menyokong nilai apresiasi dan interpretasi.

     Dalam istilah kemahiran berfikir aras tinggi atau HOTS (high order thinking skill) dalam menginterpretasi karya seni terdapat strategi yang dipanggil ‘kiub’. Iaitu melihat dan berfikir dari enam penjuru bentuk kiub. Pertama cuba huraikan makna karya seni dari apa yang dilihat. Secara lebih dekat, karya seni itu diamati dan dihuraikan bersumberkan hal yang dilihat berkait dengan asas-asas seni visual seperti warna, saiz, rupa bentuk, jalinan dan garisan.

     Penjuru kedua ialah membuat perbandingan dengan mencari persamaan dan perbezaan dalam karya-karya seni yang sealiran atau dengan karya kedua, ketiga dan seterusnya oleh pengkarya yang sama atau oleh pengkarya lain. Ini bertujuan mengesan identiti, stail, pengaruh, pembaharuan dalam inovasi dan kreativiti.

     Penjuru ketiga, menyatukan idea-idea yang berada diminda dari apa yang sedang dilihat dan menterjemahkannya. Bebaskan minda dari persepsi  dan satukan segala idea tersebut.

     Penjuru empat, membuat analisis menyakinkan bagaimana objek seni itu dihasilkan atau bagaimana kita berfikir untuk menghasilkannya.

     Penjuru lima ialah menyatakan secara aplikasi, apakah yang boleh anda lakukan dengan objek seni tersebut atau bagaimanakah ia boleh dimanfaatkan?

     Penjuru akhir ialah terus berbahas mengenai karya atau objek seni tersebut bagi menyakinkan pendirian sendiri. Menggunakan hujah-hujah logik yang membantu anda mencapai hasrat sebenar. Walaupun kenyataan itu suatu yang lucu namun masih ada rasionalnya. Keenam penjuru kiub ini merupakan latihan apresiasi dan kritikan seni dalam membantu pengamal seni, penghayat dan masyarakat untuk bersedia berhadapan dengan sebarang jenis objek seni atau karya seni visual.

     Berdasarkan lukisan Honore Daumier jenis figuratif dapat ditafsir melalui isyarat komposisi dan aksi. Mustahil boleh didengar segala kata-kata namun dari aksi ia seolah mengeluarkan butiran dialog. Secara logikalnya dalam sebuah lukisan yang dikatakan bisu tetapi sebagai audiens kita menatap imej visual yang ada aksi dengan hakikatnya ia berkata-kata. Anda sendiri cuba mencari butiran percakapan dari bantuan gerak mata, aksi badan, tangan dan tubuh melalui komposisi sebagai isyarat untuk membuat tafsiran. Sebagai analogi warna merah tanda berhenti, kuning bersedia dan hijau teruskan perjalanan yang membantu anda mendapat isyarat untuk diterjemah menjadi gerak hati dan  selanjutnya gerak-geri.

     Ruang  yang digunakan dalam lukisan ini boleh menjelaskan sebagai suatu penceritaan. Ruang depan, tengah dan belakang membawa keseimbangan ruang atas, bawah, kiri dan kanan.

     Gerak aksi figura dalam lukisan Honore Daumier itu condong lebih ke arah mana? Suatu garisan horizontal pada kanvas dijadikan garis ukur sebagai panduan. Keyakinan audiens mentafsir lukisan tesebut menjadi tanggungjawab pembuat seni mengutipnya sebagai suatu kefahaman.

Pembuat seni tidak selalunya memberi jawapan dan menjelaskan sesuatu kepada audiens melalui lukisan yang dihasilkan, malah ada yang sengaja dikaburkan. Namun ada pembuat seni yang luar biasa dan mampu menguasai elemen visual yang kaku dan bisu menjadi hidup dan bersuara yang mewakili diri untuk berkomunikasi bersama audiens. Seorang penulis Inggeris, Thomas Howdy menerangkan contoh lukisan lanskap dapat menjelaskan kata-kata melalui imej visual. Seolah ada suatu dialog atau kesan bunyi di sekeliling. Ia terhasil dan dapat didengar dalam suatu mainan kata-kata dan bunyi latar semula jadi tersebut dapat didengar apabila audiens menatap dengan hati dan minda.
▲Karya Johan Marjonid yang berimejkan panorama hutan rimba, flora dan fauna adalah suatu contoh lanskap yang mampu berdialog dengan audiens tanpa kata-kata. Seorang artis Malaysia yang berjaya menguasai elemen visual dengan skil yang bertahap tinggi. Anda berada di galeri atau muzium seni semasa menatapi karya ini tetapi jiwa dan spritual anda berada di hutan rimba yang dunianya tersendiri dan unik.
     Olahan ruang, cahaya dan kostum dalam karya seni visual merupakan contoh tanda isyarat menyokong kata-kata yang terucap tapi tidak didengari. Untuk menyakinkan audiens, ada dialog dituturkan yang menjadi kepandaian terselindung seorang pelukis seperti Daumier maka hal yang mustahil menjadi logik untuk diyakini. Ini seolah membawa audiens melihat senario lanskap dari muzium ke tempat asal kejadian.

     Pelukis cuba menyingkap kesan-kesan lakuan manusia dan apa yang tersentuh dalam persekitaran gambar membawa naratif tersendiri. Kita tidak tahu dan tidak dapat menjangka apabila melangkah ke satu dunia lain. Dunia yang dimaksudkan itu suatu imaginasi dan ilusi dari mustahil menjadi logik yang menjadi kebijaksanaan pelukis. Ada sinis, ketawa, nostalgia, mimpi ngeri di sebalik watak dan tingkah laku.

     Pelukis cuba memujuk audiens menonton suatu watak atau menghayati keindahan lanskap dalam kehidupan yang pernah dilalui atau akan ditempoh.

     Sebahagian imej dan objek yang terpilih menjadi titik fokus (focal point) perlu diambil perhatian sebagai kunci isyarat untuk membuka maksud di sebalik lukisan Honore Daumier. Contoh titik fokus tangan figura boleh menjelaskan makna tertentu yang perlu diinterpretasi dengan bijaksana. Fungsi titik fokus dimaklumi ada tujuan dan maksud sebagai menarik perhatian, memukau dan menawan perhatian audiens. Untuk merasai bahawa kita bersama di sini dan di sana, justeru itu audiens seumpama seorang penyiasat atau pakar forensik menjalankan tugas di mana jua justeru itu apa yang boleh dikaitkan dalam titik fokus usah diabaikan.

     Permasalahan interpretasi dalam bahasa visual menemui penyelesaiannya sekiranya kita berfikir menggunakan strategi ‘kiub’, menatap hasil seni menggunakan kebijaksanaan akal dan kejernihan hati lantas bertindak seperti pencari rahsia dalam rahsia. Namun ada sesuatu walaupun di depan mata tetapi tidak dapat melihat kerana ada rahsia yang tidak dizinkan untuk dilihat kerana kita tidak terpilih untuk melihatnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan